SEPANG, 15 Sept -- Kementerian Pengangkutan berhasrat meningkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 25 peratus menjelang 2015 daripada 16 peratus pada masa ini, dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas jalan raya.
Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata pada masa ini, terdapat lebih daripada 18 juta kenderaan di jalan raya seluruh negara, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas terutamanya semasa musim perayaan.
"Kementerian memang berhasrat meningkatkan kapasiti penggunaan pengangkutan awam kerana kita berharap untuk mengurangkan kesesakan jalan raya terutamanya pada musim perayaan, seterusnya mengurangkan pengeluaran karbon," kata beliau selepas pelancaran perkhidmatan "Transit KLIA ke LCCT" Express Rail Link Sdn Bhd di sini pada Selasa.
Beliau berkata lebih daripada lapan juta kenderaan dijangka berada di jalan raya semasa perayaan Hari Raya ini.
Mengulas mengenai cadangan sambungan LRT Ampang Line dari stesen Sri Petaling-Putra Heights oleh Syarikat Prasarana Negara Bhd, Abdul Rahim berkata ia adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan sedia ada ke destinasi-destinasi lain.
"Ia juga untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam berbanding kereta persendirian," tambah beliau.
Cadangan sambungan LRT Ampang Line akan merentasi kawasan Kinrara dan Puchong sebelum berakhir di Putra Heights, yang meliputi jarak 17.7 km dengan 13 stesen baru.
"Landasan di Malaysia telah menjadi tulang belakang kepada rangkaian pengangkutan awam. Pengendali rel telah berusaha keras untuk menjayakannya," kata beliau.
Terdahulu, Abdul Rahim dan ketua pegawai eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor merasmikan perkhidmatan baru itu.
Penumpang yang ingin ke Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) kini boleh menaiki kereta api laju Transit KLIA dari KL Sentral ke Salak TInggi dan dibawa terus ke LCCT dengan koc shuttle yang telah dikhaskan.
Perkhidmatan baru itu, kata Noormah, dijangka meningkatkan penumpang ERL sebanyak 10 peratus menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata pada masa ini, kira-kira 7,000 penumpang menggunakan transit KLIA setiap hari.
sumber berita --BERNAMA
|