BUTTERWORTH, 4 Jan -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan membuka tender bagi pembelian 36 tren unit gandaan elektrik (EMU) baharu yang keseluruhannya bernilai RM2 bilion dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.
Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan berkata KTMB kini mengenal pasti pembekal dari syarikat antarabangsa di Eropah, China dan Jepun untuk tujuan itu.
"Kita mahu mempercepatkan proses ini kerana mahu memperoleh EMU terbabit pada tahun 2012," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian saguhati kepada setinggan yang terlibat dalam projek landasan berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar, di sini Isnin.
Majlis penyampaian saguhati kepada 134 setinggan itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Mengulas mengenai tender itu, Ong berkata EMU yang bakal dibeli itu mempunyai enam gerabak berbanding tiga gerabak EMU yang digunakan oleh KTM ketika ini.
Katanya EMU itu akan bergerak dengan kelajuan antara 100-120/kmj.
"Selain membeli EMU baharu, kita perlu memperbaiki dan memperbaharui EMU sedia ada bagi memastikan keselesaan kepada pengguna," katanya.
sumber berita -- BERNAMA
|