38 EMU Dalam Tempoh Tiga Tahun Untuk Baiki Perkhidmatan Tren

KOTA BAHARU, 11 Jan -- Kementerian Pengangkutan akan melengkapkan 38 set Unit Tren Elektrik Pelbagai Guna (EMU) dalam tempoh kira-kira tiga tahun lagi bagi memberikan perkhidmatan pengangkutan awam terbaik kepada rakyat.

Menterinya Datuk Seri Ong Tee Keat berkata jumlah sebanyak itu sudah memadai apabila siapnya projek landasan berkembar elektrik tidak lama lagi yang sudah tentu menjimatkan masa perjalanan.

"Setiap set tren EMU ini ada enam gerabak berbanding yang sedia ada iaitu hanya dua atau tiga gerabak sahaja. Ini sudah tentu dapat menampung jumlah pengguna dan menjimatkan masa perjalanan.

"Tetapi ia ambil masa secara berperingkat dan dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun lagi apabila semua 38 set tren EMU ini diperolehi," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dengan anggota MCA Kelantan di sini, pada hari Isnin.

Ong yang juga Presiden MCA berkata sebagai perbandingan, jarak perjalanan antara Kuala Lumpur dan Ipoh hanyalah selama dua jam sahaja.

"Perancangan rapi sudah dilakukan seperti penambahan tren LRT pada 2011," katanya.

Beliau berkata dengan penambahan tren LRT itu, jumlah tempoh masa menunggu akan dapat disingkatkan iaitu dalam tempoh dua minit sahaja berbanding tiga minit sebelum ini.

Sementara itu, Ong berkata pihaknya pada masa yang sama tidak akan mengabaikan perkhidmatan kereta api antara bandar yang mana Kelantan bakal mendapat manfaat daripada perkhidmatan itu.

Katanya perkhidmatan tren antara bandar itu akan mempercepatkan perjalanan antara pekan-pekan kecil di negeri ini dengan pertambahan tren akan dapat dilaksanakan.

Turut hadir adalah Menteri Pelancongan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Kelantan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

-- sumber berita BERNAMA

 
Copyright © 2006-2007 Jabatan Keretapi Malaysia. All rights reserved.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
PENAFIAN: Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.