Kerajaan Berhasrat Tingkat Penggunaan Pengangkutan Awam Kepada 25 Peratus

PULAU PINANG, 14 Jan -- Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan peratus penggunaan pengangkutan awam oleh orang ramai di Lembah Klang kepada 25 peratus pada penghujung 2012 nanti.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau yakin sasaran itu boleh dicapai dengan adanya usaha penambahbaikan yang sedang diusahakan dengan gigih oleh pihak yang berkaitan.

Katanya selain itu kerajaan turut merancang untuk menaik taraf 4,000 hentian bas di Lembah Klang kerana ketika ini 40 peratus daripadanya adalah perhentian yang tidak berbumbung dan tidak mempunyai papan tanda yang jelas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara Rapid Penang Sdn Bhd dan Puspakom Sdn Bhd di sini Khamis.

Sementara itu merujuk kepada perkhidmatan pengangkutan Rapid Penang, Ong berkata beliau yakin syarikat itu mampu mencapai sasaran peratusan itu lebih awal, iaitu di penghujung 2011, berdasarkan kepada rekod pencapaiannya yang baik selama hampir tiga tahun beroperasi di Pulau Pinang.

Beliau berkata sebelum ini jumlah penggunaan pengangkutan awam di kalangan orang ramai di Pulau Pinang berada pada kadar kira-kira lapan peratus, dengan jumlah pengguna harian adalah 38,000 pada 2007 bagi operasi di 33 laluan.

"Tetapi kadar penggunaan pengangkutan awam di Pulau Pinang kini menunjukkan peningkatan yang drastik menjadi 15 peratus dengan jumlah pengguna perkhidmatan harian Rapid Penang mencecah 65,000 di 38 laluannya," katanya.

Sementara itu merujuk kepada MoU hari ini, Ong berkata Rapid Penang membeli peralatan bernilai kira-kira RM1 juta untuk kegunaan Puspakom, yang ditempatkan di pejabat Rapid Penang di Lorong Kulit, di sini bagi memudahkan kerja-kerja pemeriksaan bas oleh Puspakom.

"Dengan adanya peralatan dan pegawai Puspakom yang beroperasi di pejabat Rapid Penang, ia akan menjimatkan masa dan wang bagi syarikat tersebut untuk membuat pemeriksaan bas," katanya.


-- sumber berita BERNAMA

 
Copyright © 2006-2007 Jabatan Keretapi Malaysia. All rights reserved.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
PENAFIAN: Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.