Pada 24 September 2008 (Rabu) jam 6.19 petang satu gangguan perkhidmatan kereta api telah berlaku di Laluan Sri Petaling ( iaitu Sistem LRT1 Kuala Lumpur atau dahulu dipanggil STAR ) akibat oleh perlanggaran dua buah tren berdekatan Stesen Bukit Jalil. Sebuah tren dari Stesen Sg Besi menghala ke Sri Petaling melanggari bahagian belakang sebuah tren lain yang menghala ke Sri Petaling dan berhenti di lampu semboyan merah berdekatan Stesen Bukit Jalil. Enam (6) orang penumpang mengalami kecederaan ringan. Empat (4) penumpang yang cedera dibawa dengan ambulans ke Hospital UKM di Cheras manakala dua (2) orang penumpang lain yang cedera telah pergi sendiri ke hospital. Semua mereka kecuali seorang telah menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan balik. Seorang penumpang di wadkan semalaman untuk pemerhatian dan dibenarkan balik keesokan hari.
2. Syarikat RapidKL telah menangani kejadian ini dengan menjalankan tindakan berikut, iaitu : mendapatkan bantuan Polis dan Bomba; mematikan bekalan kuasa elektrik landasan untuk keselamatan penumpang; mengumumkan gangguan perkhidmatan di semua stesen; pemandu-pemandu tren terlibat memeriksa keadaan penumpang dan mengawasi tindakan mengosongkan tren-tren berkenaan. Selain itu, perkhidmatan alternatif sehingga tamat waktu perkhidmatan telah disediakan mulai jam 6.30 petang, yang mana perkhidmatan tren disediakan sehingga Stesen Bandar Tasik Selatan ditampung dengan perkhidmatan bas pengantara dari Stesen Bandar Tasik Selatan ke Stesen Sri Petaling. Semua penumpang yang terkandas selamat tiba di Stesen Bukit Jalil pada jam 7.25 malam. Perkhidmatan kembali seperti sediakala mulai 6.00 pagi esok harinya.
3. Selaras dengan peruntukan Akta Keretapi 1991 (Akta 463), Jabatan Keretapi sebagai badan kawal selia kereta api bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mengarahkan Syarikat RapidKL untuk menyiasat punca kejadian ini dan mengemukakan laporan siasatan serta mengambil segala langkah untuk membaiki apa-apa kelemahan yang ada pada sistem ini untuk memastikan perkhidmatan yang selamat kepada penumpang.
4. Memandangkan kejadian ini telah menimbulkan kebimbangan umum,pada masa yang sama RapidKL menjalankan siasatan, Jabatan Keretapi telah juga mula menjalankan siasatan secara berasingan bagi memastikan siasatan yang bebas dan lebih menyeluruh. Laporan siasatan oleh Syarikat RapidKL yang bakal diterima akan menjadi satu daripada input kepada siasatan oleh Jawatankuasa Siasatan Jabatan Keretapi itu. Bagi memastikan siasatan yang teliti, satu tempoh masa yang cukup diperlukan untuk menjalankan siasatan.
5. Langkah-langkah serta-merta telah diambil oleh Syarikat RapidKL untuk memastikan tidak berlaku lagi pelanggaran dan selamat kepada penumpang. Langkah yang telah diambil terbahagi kepada dua sudut, iaitu sudut kecukupan peralaan atau perkakasan sistem kereta api berkenaan dan sudut kemantapan kaedah mengendali tren. Jabatan Keretapi berpuas hati langkah-langkah serta-merta seperti di atas yang diambil oleh RapidKL itu dapat memastikan tidak berlaku lagi kejadian pelanggaran tren.
Dikeluarkan oleh ;
Ketua Pengarah
Jabatan Keretapi Malaysia
Tarikh : 9 Oktober 2008 / 9 Syawal 1429 H |