KL Monorel Adakan Latihan Bencana Dan Krisis

KUALA LUMPUR, 18 Dis -- KL StarRail Sdn Bhd, operator KL Monorail mengadakan latihan pengurusan krisis dan bencana di stesen KL Monorail Medan Tuanku awal pagi Jumaat.

Latihan yang bermula 12.45 pagi dan berakhir dua jam kemudian, membabitkan senario tiga dalam satu -- rampasan tren, menarik tebusan, menyelamat dan pemindahan yang turut disertai agensi-agensi keselamatan luar dan penyelamat.

Ketua Pegawai Operasi KL StarRail, Khairani Mohamed berkata tujuan utama latihan itu diadakan adalah bagi menguji keberkesanan rangkaian komunikasi, mobilisasi pasukan kecemasan, pasukan khusus dan penyelarasan antara agensi kerajaan dan kakitangan KL Monorail dalam mengendalikan kecemasan menurut prosedur operasi standard.

"Tumpuan latihan ini juga untuk melihat sama ada kami kekurangan apa-apa peralatan atau kemahiran komunikasi .. jadi Insyaallah, kami akan mempertingkatkan kekurangan untuk memberi bantuan yang lebih mantap," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan latihan 'Ex Hotel KL Monorail'.

Latihan itu dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti polis, Hospital KL, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penerangan dan Jabatan Pertahanan Awam.

sumber berita --BERNAMA

 
Copyright © 2006-2007 Jabatan Keretapi Malaysia. All rights reserved.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
PENAFIAN: Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.