|
15 gerabak kereta api tergelincir
PADANG BESAR 29 Ogos – Berpuluh-puluh
perkhidmatan kereta api penumpang dan barang bagi perjalanan
ke utara dan selatan terkandas hari ini setelah 15 daripada
35 gerabak sebuah kereta api barang tergelincir berhampiran
Kampung Bukit Chabang, dekat sini.
Dalam kejadian 6.50 pagi itu, kereta api yang membawa kontena
kosong tergelincir ketika menuju ke Stesen Kereta Api Padang
Besar dari Prai, Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan
ke Bangkok, Thailand.
Kejadian terburuk sejak 10 tahun itu berlaku di Kilometer
146.75 hingga 147.25 sebaik sahaja kereta api yang menggunakan
lokomotif berkuasa tinggi dikenali ‘Blue Tiger’
melepasi Perhentian Kereta Api Bukit Keteri.
Bagaimanapun, pemandu lokomotif dan pembantunya yang berusia
lingkungan 35 dan 40 tahun tidak cedera.
Kejadian mengakibatkan sekurang-kurangnya 30 perkhidmatan
pengangkutan penumpang dan barang terpaksa dihentikan hari
ini.
Ia dijangka berterusan selama dua hari iaitu jangka masa
yang disasarkan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad
(KTMB) untuk menjalankan operasi baik pulih landasan dan
menunda gerabak yang tergelincir.
Paling terjejas adalah perkhidmatan Ekspres Langkawi iaitu
perjalanan pergi balik Kuala Lumpur-Hatyai dan Ekspres Antarabangsa
yang melalui Bangkok-Butterworth.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Pemangku Supritendan Che
Man Md. Dros berkata, pihaknya menolak kejadian terbabit
mempunyai kaitan dengan unsur-unsur sabotaj.
‘‘KTMB menerusi bahagian siasatannya sedang
menjalankan siasatan. Mereka akan kenal pasti punca kejadian,”
katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Eksekutif Kanan (Operasi) KTMB di Butterworth,
Rasul Yahya berkata, berikutan kejadian itu, pihak KTMB
telah menyediakan pengangkutan alternatif khusus bagi penumpang
yang menuju ke Kuala Lumpur, Butterworth, Hatyai dan Bangkok.
Bagi Ekspres Langkawi iaitu Kuala Lumpur-Hatyai, ujarnya,
pengangkutan alternatif disediakan di Stesen Kereta Api
Arau dan Padang Besar.
‘‘Bagi Ekspres Antarabangsa Bangkok-Butterworth,
penumpang akan disediakan bas terus menuju ke Butterworth
dari Padang Besar.
‘‘Kerja-kerja baik pulih landasan dijangka
memakan masa 48 jam. Seramai 60 kakitangan KTMB Padang Besar,
Ipoh dan Prai dikerahkan untuk kerja-kerja berkenaan,”
jelasnya.
Dalam pada itu, usaha untuk menemubual pemandu kereta api
tersebut gagal setelah dinasihatkan supaya tidak berbuat
demikian.
Menurut Rasul, pihak KTMB terpaksa ‘melindungi’
pemandu kereta api itu atas alasan tertentu sehingga siasatan
terhadap kemalangan selesai dijalankan.
|