Operasi bas dan tren Rapid KL dilanjut 2 pagi

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (Rapid KL) akan melanjutkan masa operasi perkhidmatan tren dan bas syarikat itu pada 30 Ogos ini untuk membolehkan warga kota meraikan malam ambang kemerdekaan di ibu negara dan kawasan sekitarnya.

Pengarah Besar Divisyen Operasi Rel syarikat itu, Azmi Abdul Aziz berkata, masing-masing empat stesen Putra-LRT dan tiga stesen Star-LRT akan dilanjutkan masa operasinya sehingga pukul 2.30 pagi, 31 Ogos ini.

‘‘Stesen Putra-LRT yang beroperasi sehingga pukul 2.30 pagi adalah stesen Kelana Jaya, Pasar Seni, Masjid Jamek dan KLCC.

‘‘Stesen Star-LRT yang terlibat pula adalah stesen Hang Tuah, Masjid Jamek dan Bandaraya,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Azmi menambah, stesen LRT Bangsar, Dang Wangi, Kampung Baru dan Ampang Park turut dilanjutkan operasinya sehingga pukul 2 pagi untuk memudahkan perjalanan orang ramai.

‘‘Untuk stesen-stesen lain pula, ia akan beroperasi sehingga pukul 12.45 tengah malam,’’ katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya membeli tiket pergi-balik untuk mengelakkan kesesakan di kaunter yang dijangka akan berlaku selepas berakhirnya sambutan pada awal pagi 31 Ogos nanti.

Mengenai perkhidmatan bas pula, Azmi berkata, kira-kira 50 laluan bas membabitkan laluan utama, tempatan dan ekspres akan dilanjutkan masa perkhidmatannya sehingga pukul 3 pagi.

‘‘Pelanjutan masa perkhidmatan bas turut membabitkan laluan antara stesen LRT dengan kawasan perumahan,’’ ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat tambahan mengenai masa operasi dan perkhidmatan Rapid KL boleh menghubungi syarikat itu di talian 03-76256999.

Sementara itu warga kota yang menggunakan perkhidmatan tren dan bas Rapid KL berpeluang mendapatkan Jalur Gemilang secara percuma di stesen-stesen Putra-LRT, Star-LRT dan hab pengangkutan bas terpilih antara 27 hingga 31 Ogos ini.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Rapid KL, Katherine Chew berkata, sebanyak 10,000 Jalur Gemilang telah disediakan untuk diagihkan secara percuma kepada pengguna sempena dengan sambutan kemerdekaan ke-50 negara tahun ini.

‘‘Antara stesen yang terlibat adalah KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni, Bandaraya, Bangsar, KL Sentral, PWTC, Plaza Rakyat, Kelana Jaya, Pasar Seni dan Hang Tuah.

‘‘Program yang sama juga akan dijalankan di hab pengangkutan bas di KLCC, Titiwangsa dan KL Sentral,’’ katanya.

Copyright © 2006-2007 Jabatan Keretapi Malaysia. All rights reserved.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
PENAFIAN: Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.