Lebih 7.1 juta dapat manafaat


Dua model menunjukkan bas henti-henti yang baru diperkenalkan Express Rail Link Sdn. Bhd. di Stesen ERL Salak Tinggi, Sepang, Selangor, semalam.

SEPANG 15 Sept. – Berita baik untuk orang ramai. Selepas Syarikat Prasana Negara Bhd. (Prasarana) mengumumkan laluan tambahan transit aliran ringan (LRT) untuk laluan Kelana Jaya dan Ampang, Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) turut merintis langkah yang sama.

ERL merancang menyambung landasan kereta api lajunya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke bangunan baru Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) yang akan dibina di sini.

Landasan itu dijangka siap 2011 serentak dengan pembinaan terminal yang dilaksanakan oleh Malaysia Airports Bhd. (MAB).

Landasan sejauh dua kilometer (km) itu dijangka meningkatkan keupayaan perkhidmatan ERL selain memberi kemudahan kepada penumpang ke LCCT.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Nor berkata, perancangan itu masih di peringkat awal dan kertas cadangan sudah dihantar ke Kementerian Pengangkutan.

Jelasnya, landasan tambahan ke LCCT akan memberi kemudahan kepada lebih 7.1 juta penumpang yang menaiki kapal terbang di LCTT sebulan.

“Perkhidmatan ERL merupakan pengangkutan terbaik dan berkesan apabila ia dapat mengurangkan 3.5 juta kenderaan di atas jalan setiap tahun dan mengelak pengeluaran 23,000 tan karbon dioksida ke udara,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian perkhidmatan Transit KLIA ke LCCT di sini hari ini. Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Hadir pada majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif ERL Maintenance Support Sdn. Bhd., Thomas Baake.

Setakat Julai lalu, seramai 7.1 juta penumpang dicatatkan menggunakan LCCT manakala di KLIA seramai sembilan juta orang.

Ketika ditanya mengenai cadangan ERL untuk menambah laluan ke destinasi lain selain dari kawasan Lembah Klang, Noormah berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengambil langkah tersebut.

Katanya, setakat ini, segala keputusan adalah terletak kepada kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan ERL ke destinasi lain.

Ditanya mengenai aliran penggunaan ERL pada waktu ini, Noormah berkata, lima bulan pertama tahun ini menunjukkan penyusutan bilangan penumpang berikutan masalah global seperti kemelesetan ekonomi dan sebagainya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa salah satu faktor penyusutan itu disebabkan oleh penyebaran wabak selesema babi ( H1N1).
sumber berita –Utusan Online

Copyright © 2006-2007 Jabatan Keretapi Malaysia. All rights reserved.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
PENAFIAN: Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.