LRT disambung ke Batu Caves -- Antara agenda utama BN untuk penduduk Gombak

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
PENDUDUK sekitar Gombak dan Batu Caves bakal mempunyai banyak pilihan pengangkutan awam moden jika sistem LRT disambung ke kawasan itu.

GOMBAK 5 Mac – Jika penduduk Puchong boleh bergembira apabila kerajaan sudah bersetuju untuk menyambung perkhidmatan sistem transit aliran ringan (LRT) ke kawasan itu, penduduk Gombak dan Batu Caves juga mungkin boleh turut bergembira.

Ini kerana calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Gombak, Said Anuar Said Ahmad meletakkan usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam di kawasan itu sebagai antara agenda utamanya.

Menurutnya, ia termasuklah usaha memanjangkan perkhidmatan Putra LRT yang kini berakhir di Terminal Putra di Taman Melati sehingga ke Batu Caves.

Stesen terakhir Putra LRT itu hanya terletak beberapa kilometer sahaja dari Taman Seri Gombak dan Batu Caves.

Katanya, jika perkhidmatan itu dapat dipanjangkan ke Batu Caves, ia bukan sahaja akan memberi kemudahan kepada kawasan setempat tetapi juga membantu mengurangkan kesesakan jalan raya terutamanya yang menghala ke Kuala Lumpur.

“Ini adalah antara agenda utama yang akan saya perjuangkan jika dipilih oleh para pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-12 ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Said Anuar berkata, jika usahanya itu berjaya, penduduk-penduduk di sekitar Gombak dan Batu Caves akan mempunyai dua pilihan sistem pengangkutan awam moden.

“Sistem Komuter untuk laluan Batu Caves - Gombak sedang dalam projek pembinaan dan jika LRT pula disambung ke kawasan ini, bukan sahaja kita dapat mengintegrasikan sistem pengangkutan awam tersebut tetapi yang lebih penting, memudahkan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, sistem LRT lebih menjadi pilihan pengguna terutama bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur kerana ia lebih pantas dan perjalanannya lebih kerap.

“Jika disambung sehingga ke Batu Caves, maka penduduk-penduduk di sini tidak perlu menaiki teksi untuk ke stesen LRT terdekat dan ini dapat mengurangkan kos perjalanan mereka,” katanya.

Satu lagi perkhidmatan yang berada dalam senarai cadangan beliau ialah sistem bas komuniti bagi menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah berikutan peningkatan jumlah kawasan perumahan.

Namun, tegas beliau, perkara pertama yang akan dilakukan jika memenangi kerusi Parlimen tersebut ialah memastikan Masjid Zakaria di Batu 8 1/2 Jalan Gombak diperbesarkan.

“Ketika ini, masjid itu hanya dapat menampung sehingga kira-kira 3,000 orang. Saya akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi membolehkan sama ada ia diperbesarkan atau dibina sebuah masjid baru.

“Ruang masjid itu kini terlalu kecil kerana ia bukan sahaja digunakan oleh penduduk di sini tetapi juga kakitangan dan para pelajar UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia),” jelas beliau.

Beliau juga telah merancang dengan UIAM untuk bekerjasama membentuk program yang akan memberi faedah kepada penduduk-penduduk sekitar.

“Saya telah berbincang dengan pihak UIAM untuk menjalankan satu program di mana para pelajar termasuk dari luar negara memberi khidmat kepada para penduduk sekitar sini termasuk mengadakan kelas bimbingan.

“Ini bukan sahaja akan memberi faedah kepada anak-anak penduduk tetapi memperkenalkan juga budaya masyarakat tempatan kepada para pelajar terutama dari luar negara.

“Saya harap dengan pergaulan antara para pelajar dengan masyarakat tempatan akan membolehkan kita menunjuk ajar mereka supaya antara penduduk dengan mereka tidak timbul pandangan serong sesama mereka,” ujarnya.

Copyright © 2006-2007 Jabatan Keretapi Malaysia. All rights reserved.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
PENAFIAN: Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.