Landasan kereta api: Beri kepada kontraktor Melayu


ALOR STAR 13 Feb. - Persatuan Kontraktor Melayu Kedah mendesak supaya projek pembinaan landasan kereta api berkembar yang menghubungkan Ipoh ke Padang Besar diberikan kepada kontraktor Melayu di Kedah.

Yang di-Pertuanya, Ahmad Fatahi Omar berkata, syarikat pemaju yang mengendalikan projek itu sepatutnya memberikan peluang kepada kontraktor Melayu negeri itu untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan projek tersebut.

"Kami tidak mahu projek yang sepatutnya diperoleh anak watan negeri ini terlepas ke tangan orang lain.

"Jika dilihat Kedah adalah kawasan paling besar yang terlibat dalam projek ini dan laluannya cukup panjang," ujarnya di sini hari ini.

Syarikat pemaju pada pertengahan Disember lalu, mengumumkan kontraktor bumiputera berpeluang mendapatkan kerja bernilai RM3.8 bilion dalam projek landasan berkembar yang menelan belanja RM12.5 bilion.

Ia membabitkan pembinaan lebih daripada 100 buah jambatan, 30 bangunan stesen, lebih daripada 180 kilometer kerja-kerja pembetungan dan parit serta lebih daripada 300 kilometer kerja-kerja pembinaan trek dan utiliti.

Beliau menjelaskan, walaupun pihak Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mahu kerja-kerja pembinaan projek itu disalurkan kepada mereka sebelum diagihkan kepada kontraktor bumiputra, ia belum pasti manfaatnya dinikmati oleh kontraktor Melayu negeri ini.

"Kami tidak menghalang langsung hasrat DPMM untuk mengagihkan projek itu kepada kontraktor namun kami tidak mahu kontraktor negeri ini sekadar dapat memandang sedangkan orang lain yang mendapat tender," ujarnya.

Ujarnya, projek landasan berkembar itu adalah projek mega dan pihaknya mahu kontraktor Kedah turut mendapat manfaat daripada projek yang julung kali diadakan di negeri ini.

"Kontraktor-kontraktor yang ada di negeri ini memang layak untuk mendapatkan kerja-kerja pembinaan landasan berkembar ini.

"Semua mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pembinaan dan boleh memastikan projek ini berjalan lancar seperti yang telah dijadualkan," katanya.

 

Copyright © 2006-2007 Jabatan Keretapi Malaysia. All rights reserved.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
PENAFIAN: Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.