YTL Yakin Kerajaan Lulus Kereta Api Laju

Oleh: ARIF NIZAM ABDULLAH


FRANCIS Yeoh (kiri) bersama Charles Rubin berbual pada majlis Perjanjian antara YTL Corporation Bhd. dan Lehman Brothers di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Dis. – YTL Corporation Bhd., yakin cadangannya untuk membina landasan berkembar projek kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura bernilai RM8 bilion akan mendapatkan kelulusan kerajaan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Francis Yeoh berkata, keyakinan itu berdasarkan projek mega tersebut akan memberi banyak faedah kepada semua pihak yang terlibat.

“Kami mahu projek ini dilaksanakan dan begitu juga dengan orang ramai,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama dan pengurusan pembangunan antara anak syarikatnya, YTL Hotels & Properties Sdn. Bhd. dan Lehman Brothers Investment Pte. Ltd., iaitu bank pelaburan global.

Namun beliau enggan memberitahu tarikh tertentu bila pihaknya akan mendapat jawapan kelulusan projek itu.

Sambil berseloroh beliau berkata,” Jangan kacau projek ini. Negara ini (lebih bekerja dan) ‘kurang bercakap’.”

Julai tahun lalu, Yeoh berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan mengandungi aspek kewangan dan kejuruteraan projek keretapi laju berharga RM8 bilion itu kepada kerajaan secepat mungkin.

Projek berkenaan akan dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Perkhidmatan yang dicadangkan itu akan membolehkan perjalanan bagi jarak antara kedua-dua bandar raya itu hanya memakan masa selama 90 minit sahaja.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif pelbagai lapisan yang mahu ia dibina setakat Johor sahaja, kerana antara lain menjurus kepada kebimbangan terhadap ancaman ekonomi negara dan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) serta Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB).

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan projek tersebut mampu merapatkan jurang harga hartanah di bandar antara kedua-dua negara.

Jelasnya, ketika ini, jurang nilai hartanah antara kedua bandar itu menjangkau 700 peratus dan ia mampu dirapatkan akibat kesan projek itu.

“Projek keretapi laju yang menghubungkan antara bandar London dan Paris telah membuktikan perkara ini apabila jurang nilai hartanah antara kedua bandar dapat dikurangkan,” ujarnya.

Copyright © 2006-2007 Jabatan Keretapi Malaysia. All rights reserved.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
PENAFIAN: Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.