|
Mutu pengangkutan awam dipertingkat
Oleh Norfatimah Ahmad
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berusaha untuk meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang, walaupun dana RM10 bilion yang diperuntukkan sebelum ini sudah berkurangan berikutan kenaikan harga minyak di pasaran dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata rancangan yang dirangka untuk tempoh lima tahun itu akan dilaksanakan mengikut kemampuan dan baki peruntukan ketika ini.
Tanpa memaklumkan jumlah sebenar dana itu, beliau berkata, mengikut perancangan awal, dana berkenaan seharusnya digunakan untuk menyokong pelbagai usaha dirangka bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam.
“Kita tiada sebanyak itu (RM10 bilion) sekarang, jumlahnya makin kurang kerana peningkatan harga minyak, tetapi kita akan melaksanakan apa saja projek kita mampu,” katanya.
Najib berkata demikian selepas melancarkan model terbaru monorel keluaran Kumpulan Scomi Bhd di Pusat Konvensyen dan Pameran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini, semalam.
Monorel yang dikenali sebagai Sutra iaitu singkatan kepada Scomi Urban Transit Rail Application itu dihasilkan dalam masa setahun dan syarikat berkenaan kini bersedia untuk memasarkannya ke seluruh dunia.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Scomi, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shah Hakim Zain.
Tahun lalu, kerajaan mengumumkan inisiatif baru dan dana RM10 bilion untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang dalam tempoh lima tahun mulai tahun lalu, terutama bagi memperluaskan rangkaian transit aliran ringan (LRT).
Inisiatif itu diputuskan pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam yang dipengerusikan beliau pada Ogos 2006.
Mengikut perancangan awal, peruntukan RM10 bilion itu akan dibelanjakan sehingga 2010 oleh Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) yang memiliki dan menguruskan operasi bas RapidKL, bagi memantapkan lagi sistem pengangkutan awam berasaskan rel di Lembah Klang.
Antaranya ialah membangunkan terminal pengangkutan bersepadu (ITT), sistem tiket, pembelian bas, mewujudkan laluan baru LRT dari Kota Damansara, Damansara Utama ke Cheras sejauh 30 kilometer melintasi pusat bandar raya Kuala Lumpur dan memperluaskan laluan Putra-LRT dari Stesen Kelana Jaya ke Subang Jaya dan USJ serta laluan Star-LRT dari stesen Bukit Jalil ke Sri Petaling dan Puchong.
Mengikut perangkaan, kira-kira 438,000 orang menggunakan semua jenis pengangkutan awam berasaskan rel tahun lalu.
Ditanya mengenai kenaikan harga minyak yang ketika ini mencecah lebih AS$98 setong (RM333), Najib berkata, kerajaan masih menjalankan kajian untuk mengesan kaedah terbaik untuk memastikan kehidupan rakyat lebih selesa.
“Saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ada berbincang mengenai perkara ini, tetapi buat masa ini situasi harga minyak masih di peringkat kajian,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sudah menggariskan asasnya, seperti mana yang dinyatakan pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, kerajaan menggalakkan syarikat tempatan meneroka pasaran asing dan memberi jaminan akan terus menyokong syarikat berkenaan menerusi kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.
Malah, katanya, di dalam negara, kerajaan menggalakkan syarikat Malaysia mengembangkan kemudahan dan kilang untuk menyokong perniagaan global, sekali gus dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Kerajaan menggalakkan syarikat tempatan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan baru dengan menyediakan insentif pelaburan di peringkat antarabangsa, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan latihan yang boleh dipertimbangkan secara umum atau khusus.
“Pada masa sama, agensi seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Matrade ketika menghadiri misi pelaburan di luar negara juga menggalakkan penyertaan syarikat tempatan untuk cuba meneroka pasaran asing,” katanya.
|