|
Kerajaan komited tingkatkan sistem pengangkutan
 |
NAJIB Tun Razak mendengar taklimat mengenai model terbaru monorel keluaran Kumpulan Scomi Group Bhd. daripada Pengerusi Scomi, Tan Sri Asmat Kamaluddin (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Ketua Eksekutif Scomi, Shah Hakim Zain (kanan) di Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 26 Nov. – Kerajaan komited untuk meneruskan usaha bagi meningkatkan taraf sistem pengangkutan awam di Lembah Klang walaupun peruntukan asal RM10 bilion telah berkurangan ekoran kenaikan berterusan harga minyak dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kekurangan peruntukan itu bukan alasan bagi kerajaan untuk tidak meneruskan projek tersebut sebaliknya ia akan dilaksanakan mengikut kemampuan.
‘‘Pada asalnya, kerajaan mempunyai peruntukan melalui satu dana khas (RM10 bilion) tetapi jumlahnya semakin berkurangan ekoran kenaikan harga minyak dunia.
‘‘Bagaimanapun, kita tetap meneruskan projek ini berdasarkan kepada kemampuan kerajaan,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran monorel yang dibangunkan oleh syarikat Scomi Group Berhad di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan terkini dana khas kerajaan yang berjumlah RM10 bilion bertujuan untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang.
Pada Ogos tahun lalu, kerajaan meluluskan rancangan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam di Lembah Klang melibatkan perbelanjaan bernilai RM10 bilion.
Pembangunan infrastruktur itu akan dilaksanakan oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB), melibatkan penyambungan dan pembinaan landasan baru monorel, komuter dan sistem transit aliran ringan (LRT), pembelian bas baru dan sistem tiket bersepadu.
Perkhidmatan monorel dan komuter akan dipanjangkan landasannya termasuk menyambung laluan LRT dari Kota Damansara ke Cheras sepanjang 30 kilometer, memanjangkan laluan LRT PUTRA dari Kelana Jaya ke Subang Jaya dan LRT STAR dari Bukit Jalil ke Puchong.
|