|
Stesen LRT Sentul Timur masih ditutup
KUALA LUMPUR 25 Nov. – Stesen sistem transit aliran ringan (STAR-LRT) Sentul Timur di sini, ditutup kepada orang ramai sehingga kerja-kerja pembaikan di landasan berhampiran stesen tersebut disiapkan sepenuhnya.
Ketua Perhubungan Awam dan Komunikasi RapidKL, Katherine Chew berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan bas percuma ke stesen Sentul sepanjang penutupan stesen tersebut.
Katanya, perkhidmatan itu akan disediakan dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari pada kadar kekerapan yang bersesuaian.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, dua gerabak tren STAR-LRT tergelincir dari landasan di stesen Sentul Timur pada kira-kira pukul 1 petang menyebabkan perkhidmatan LRT terjejas sehingga lewat petang.
Menurut Katherine, pihaknya tidak dapat memastikan tarikh stesen Sentul Timur akan dibuka semula kepada orang ramai.
‘‘Stesen ini akan ditutup sehingga kerja-kerja pembaikan itu selesai dan kita akan umumkan tarikhnya kemudian,’’ ujarnya.
|