|
Tren STAR LRT tergelincir
Oleh HAMDAN TAWADI
KUALA LUMPUR 24 Nov. – Dua gerabak tren Sistem Transit Aliran Ringan (STAR-LRT) yang tergelincir dari landasan di Stesen Sentul Timur di sini hari ini telah menimbulkan suasana kelam-kabut di kalangan penumpang.
Bagaimanapun 10 orang penumpang yang menaiki perkhidmatan itu selamat tanpa sebarang kecederaan dan keluar dari tren ke stesen terdekat dalam masa 15 minit.
Dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari itu, dua daripada gerabak di bahagian tengah tren yang menghampiri Stesen Sentul Timur terkeluar dari landasan yang berada pada ketinggian hampir 25 meter dari jalan raya.
Pada 25 Oktober tahun lepas, tren STAR-LRT di stesen yang sama terbabas melewati penghadang konkrit dan tergantung pada landasan.
Menurut kenyataan Syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL), bekalan elektrik terputus serta-merta semasa kejadian menyebabkan gangguan perkhidmatan tren di lima stesen iaitu dari Sentul Timur ke Sultan Ismail.
Dalam kejadian itu, lima tren terkandas di beberapa lokasi.
Menurut kenyataan itu, jurutera RapidKL sedang menyiasat kejadian tersebut dan berusaha memulihkan perkhidmatan STAR-LRT secepat mungkin.
Sementara itu seorang saksi kejadian, Balasubramaniam P. Chniaswamy, 45, memberitahu, dia mendengar bunyi kuat seakan letupan mercun semasa tren tersebut tergelincir.
‘‘Saya mendengar penumpang menjerit ketakutan dan ada yang cuba keluar dari tren namun tidak dibenarkan oleh kakitangan STAR-LRT kerana dikhuatiri terkena kejutan elektrik pada landasan,‘’ katanya.
Menurut Balasubramaniam, dia terus menelefon pihak polis untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Seorang lagi saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Bel berkata, dia nampak asap keluar dari tren itu dan mendengar penumpang menjerit meminta tolong.
Ketika kejadian, dia berada di tingkat 18 Apartmen Melur yang terletak berhadapan Stesen Sentul Timur yang juga tempat kediamannya.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, perkhidmatan tren di Sultan Ismail dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kembali pulih pada pukul 1.25 tengah hari manakala perkhidmatan di stesen Sentul dan Titiwangsa dibuka semula pada 6.10 petang ini.
Perkhidmatan bas juga disediakan di stesen-stesen tersebut untuk membawa penumpang ke destinasi semasa gangguan berlaku.
|