Projek Kereta Api Laju KL-Singapura belum diputus

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kerajaan belum memutuskan pelaksanaan projek kereta api laju (bullet train) Kuala Lumpur- Singapura, sehingga kajian terperinci mengenainya dijalankan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Abdul Raman Suliman berkata, kajian terperinci itu meliputi pelbagai aspek termasuk impak daripada segi ekonomi, sosial dan keperluan projek tersebut dilaksanakan.

‘‘Pelaksanaan projek kereta api laju seperti yang dicadangkan oleh pihak swasta, merupakan sebuah projek infrastruktur mega yang mempunyai impak amat besar terhadap ekonomi negara dan orang ramai.

‘‘Oleh itu, sebelum projek diputuskan sama ada akan dilaksanakan atau tidak, kerajaan perlu meneliti cadangan tersebut daripada pelbagai aspek termasuk kos, pembiayaan kewangan, kesan projek ke atas pemegang saham, pengangkutan alternatif yang diperlukan serta kesan projek ke atas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI),” katanya menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Raman berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) perlu melakukan analisis terperinci bagi mengkaji impak projek tersebut dalam memastikan ia mempunyai faedah ekonomi yang kukuh.

Di samping itu, katanya, EPU juga perlu mengkaji daya saing projek daripada segi ekonomi, kewangan serta implikasinya ke atas pelabuhan sedia ada.

Copyright © 2006-2007 Jabatan Keretapi Malaysia. All rights reserved.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
PENAFIAN: Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.