|
KTMB boleh didakwa-Rais
Oleh: ZABRY MOHAMAD
KUALA LUMPUR 23 Ogos – Kerajaan tidak teragak-agak
mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan Keretapi Tanah
Melayu Berhad (KTMB) jika masih gagal menyenggara dengan
baik bangunan miliknya, sebelum Disember ini.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr.
Rais Yatim berkata, di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005,
KTMB boleh didenda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara
atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, sebagai pemilik bangunan yang diisytiharkan sebagai
warisan kebangsaan, KTMB bertanggungjawab menyenggara bangunan
itu dengan baik dan memuaskan.
Menurut Rais, kementeriannya telah mengarahkan syarikat
tersebut mengambil tindakan sewajarnya sebelum akhir tahun
ini.
‘‘Pesuruhjaya Warisan telah mengeluarkan notis
baru-baru ini mengarahkan KTMB mengambil tindakan mengembalikan
stesen tersebut kepada keadaan asalnya dalam tempoh enam
bulan.
‘‘Saya sendiri akan meninjau keadaan stesen
itu pada Disember ini. Jika masih tidak memuaskan, maka
tindakan undang-undang wajar dikenakan terhadap mereka,’’
kata Rais ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari
ini mengenai bangunan Stesen Kereta Api Tanah Melayu di
Jalan Hishamuddin di sini yang didapati terbiar dan tidak
diurus dengan baik.
Tinjauan di bangunan yang dibina pada 1885 itu mendapati
banyak cermin bangunan telah pecah, besi buruk diletakkan
di tempat laluan orang ramai malah lebih menjijikkan terdapat
juga najis manusia di laluan pejalan kaki.
Bangunan tersebut dikatakan semakin diabaikan sejak 2001
apabila pusat operasi utama stesen kereta api dipindahkan
ke Stesen Sentral Kuala Lumpur yang lebih canggih dan moden.
Rais memberitahu, selain stesen kereta api, bangunan ibu
pejabat KTMB yang terletak bertentangan juga didapati tidak
disenggara dengan baik.
Katanya, tindakan yang sama juga boleh diambil jika KTMB
tidak mengambil langkah-langkah sepatutnya terhadap bangunan
berkenaan.
‘‘Kerajaan mempunyai hak untuk memaksa KTMB
menyenggara dengan baik bangunan-bangunan miliknya yang
kini dikategorikan sebagai warisan kebangsaan,’’
tegasnya.
|