|
Jangan sampai stesen KTM terbiar
KUALA PILAH 23 Ogos – Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kesal bangunan Stesen Kereta
Api Tanah Melayu di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur
ditinggalkan terbiar sejak enam tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau mahu pihak pengurusan Kereta Api
Tanah Melayu Berhad (KTMB) melakukan sesuatu supaya bangunan
warisan kebangsaan itu kembali menjadi tumpuan orang ramai.
‘‘Mereka perlulah jaga, jangan sampai tinggal
begitu,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan
upacara pecah tanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala
Pilah di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari
ini mengenai nasib stesen kereta api yang dibina pada 1885
dan menjadi tumpuan orang ramai ekoran seni binanya yang
unik itu.
Bangunan yang disenaraikan sebagai warisan negara tersebut
dikatakan semakin terabai sejak 2001 apabila pusat operasi
utama stesen kereta api dipindahkan ke Stesen Sentral Kuala
Lumpur.
Perdana Menteri berkata, stesen itu boleh digunakan untuk
tujuan yang memberikan pulangan dan bernilai komersial.
|