| Pegawai Eksekutif SC maut digilis
SEGAMBUT 22 Ogos – Seorang Pegawai Eksekutif Suruhanjaya
Sekuriti (SC) Malaysia maut digilis tren komuter ketika
cuba melintas landasan keretapi berhampiran bulatan Segambut
di sini, hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.54 pagi
ini, mangsa, Adelina Zainuddin, 31, mati di tempat kejadian
akibat cedera parah di kepala dan perut.
Mangsa yang dirempuh tren komuter yang dalam perjalanan
dari arah Seremban menuju ke Rawang di Kilometer 381.8 bersebelahan
Pangsapuri Sri Putramas, diseret tren berkenaan sejauh kira-kira
100 meter.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin
Ahmad berkata, mangsa kemudian tercampak ke tepi landasan.
“Mangsa yang datang dari arah kediamannya di Pangsapuri
Sri Putramas cuba melintas landasan komuter menuju ke arah
sebuah lorong ‘tikus’,” katanya ketika
dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Zainuddin, sewaktu kejadian, pemandu tren komuter
itu ternampak mangsa berdiri berdekatan landasan dan membunyikan
hon sebagai tanda amaran tetapi wanita berkenaan tidak berganjak.
Bagaimanapun katanya, mangsa yang tidak mengendahkan amaran
itu kemudiannya bertindak melintas landasan itu sejurus
sebelum tren komuter sampai ke lokasi mangsa berdiri.
“Setelah terlanggar mangsa, pemandu berkenaan memberhentikan
trennya di stesen komuter Segambut dan terus membuat laporan
di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul,” jelasnya.
Ujar Zainuddin, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala
Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.
|