KTMB rancang baik pulih stesen KL

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mempunyai perancangan untuk membaik pulih bangunan stesennya di Jalan Hishamuddin bagi menceriakan semula suasana di bangunan itu.

Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Shariza Embi berkata, pihaknya sedang

menyenggara ruang legar bangunan itu untuk dijadikan tempat pameran sejarah KTMB sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Menurutnya, pameran yang akan dianjurkan mulai 30 Ogos itu diharap dapat menarik perhatian orang ramai dan pelancong mengunjungi bangunan yang disenaraikan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sebagai bangunan warisan kebangsaan.

“Pada pameran itu nanti KTMB menyediakan pusat jualan kraf tangan dan kita juga merancang mewujudkan kafe-kafe yang menyediakan skrin besar untuk pengunjung bersantai bersama rakan-rakan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai keadaan bangunan itu yang kini terbiar apabila tidak lagi menjadi tumpuan orang ramai sejak tahun 2001 apabila pusat operasi utama stesen kereta api dipindahkan ke Stesen Sentral Kuala Lumpur, yang lebih canggih dan moden.

Jika sebelum ini bangunan yang menempatkan restoran dan kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan itu sering dikunjungi orang ramai ia kini sekadar menjadi tempat persinggahan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan komuter.

Tinjauan Utusan Malaysia di stesen itu mendapati ia tidak dijaga dan diselenggara dengan baik apabila terdapat banyak cermin bangunan yang pecah, besi buruk diletakkan di tempat laluan orang ramai malah lebih menyedihkan terdapat juga najis manusia di kawasan pejalan kaki.

Shariza berkata, pameran sejarah itu akan dibuka setiap hari sepanjang sambutan bulan kemerdekaan dan ia mungkin akan dikekalkan sekiranya mendapat sambutan orang ramai.

“Pada hari Isnin hingga Khamis ia dibuka dari pukul 9 pagi hingga 6 petang manakala pada hari Jumaat hingga Ahad dibuka dari pukul 9 pagi hingga 7 petang,” ujarnya.


Copyright © 2006-2007 Jabatan Keretapi Malaysia. All rights reserved.
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
PENAFIAN: Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.