|
Stesen kereta api KL terbiar
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
KUALA LUMPUR 22 Ogos – Apa sudah jadi dengan bangunan
Stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) di Jalan Sultan Hishamuddin
- bangunan warisan kebangsaan yang kini tinggal terbiar?
Bangunan yang dibina pada 1885 berdasarkan seni bina ‘Moorish’
dan menjadi tumpuan orang ramai ekoran seni binanya yang
unik itu, kini sepi berbanding enam tahun lalu.
Bangunan yang dianggap sebagai khazanah negara itu dikatakan
semakin diabaikan sejak tahun 2001 apabila pusat operasi
utama stesen kereta api dipindahkan ke Stesen Sentral Kuala
Lumpur, yang lebih canggih dan moden.
Jika sebelum ini bangunan yang menempatkan restoran dan
kedai-kedai menjual pelbagai barangan itu menjadi tumpuan
orang ramai, ia kini sekadar menjadi tempat persinggahan
pengguna perkhidmatan komuter.
Tinjauan Utusan Malaysia di stesen itu hari ini mendapati
ia tidak dijaga dan diselenggara dengan baik.
Terdapat banyak cermin bangunan yang pecah, besi buruk
diletakkan di tempat laluan orang ramai malah lebih menyedihkan
terdapat juga najis manusia di kawasan pejalan kaki.
Orang ramai yang ditemui melahirkan rasa kesal dengan keadaan
stesen itu dan mahu langkah segera diambil untuk memelihara
serta menjaga bangunan tersebut seperti yang dilakukan ke
atas Stadium Negara dan Stadium Merdeka.
Seorang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Nurarima
Suardi, 22, terkejut dengan keadaan dalam bangunan itu yang
kelihatan seperti bangunan terbengkalai dan bukannya stesen
kereta api lama yang penuh dengan nilai sejarah.
“Sudah lama saya tidak datang ke sini dan tidak menyangka
sama sekali ia (stesen) menjadi seperti ini, sekali gus
menyebabkan pelancong yang mengunjunginya mempunyai persepsi
tidak baik terhadap aspek kebersihan di negara ini,”
katanya di sini, hari ini.
Bangunan yang dibina semasa zaman British dan diubah suai
mencontohi konsep stesen kereta api Victoria Station di
Britain itu mula beroperasi sebagai stesen kereta api pada
1910.
Ketika itu, ia dikenali sebagai Stesen Residensi kerana
terletak dalam kawasan Residen British.
Selepas era British, stesen itu kekal menjadi nadi kepada
sistem pengangkutan negara terutama untuk membawa barang
dagangan seperti getah sebelum digunakan sebagai pengangkutan
awam yang menghubungkan destinasi tertentu dan menjadi pusat
rangkaian kereta api utama.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Nik Mohd. Fadli
Nik Mat, 24, berkata, pihak yang berwajib perlu melakukan
sesuatu agar bangunan itu kembali dikunjungi orang ramai
sama ada untuk menggunakan perkhidmatannya atau melawat
bangunan warisan tersebut.
“Pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) boleh
menyediakan sebuah ruang pameran mengenai sejarah kereta
api di negara ini serta menganjurkan aktiviti untuk menarik
perhatian orang ramai termasuk pelancong,’’
ujarnya.
Seorang kakitangan swasta yang sering menggunakan stesen
itu, Rosli Ismail, 43, turut kesal kerana tiada perubahan
dilakukan oleh pihak bertanggungjawab untuk mengubah keadaan
di stesen yang semakin suram itu.
“Pengurusan KTMB diharap dapat membuat sesuatu bagi
menarik kembali pengunjung seperti menyewakan kedai-kedai
sedia ada dengan kadar sewa yang murah,” katanya.
Sementara itu, pelajar bidang Perhubungan Awam, Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Wan Yuneeza Wan Mohd. Yusof, 28,
berkata, stesen itu tidak lagi menjadi tumpuan pengunjung
ekoran keadaannya yang kotor selain ketiadaan kedai- kedai
kraf tangan dan cenderamata.
“Saya juga kesal kerana tidak ada pejabat pengurusan
di dalam bangunan untuk memberi maklumat dan perkhidmatan
yang mungkin diperlukan orang ramai, menunjukkan pihak pengurusan
tidak begitu peka terhadap kepentingan pengguna stesen itu,”
ujarnya.
|